Pages

Wednesday, October 19, 2011

Kegilaan Terhadap Hard Lure



Pada peringkat awal melibatkan diri dalam Sport Fishing di bumi New Zealand, saya cuma pandai menggunakan Toby Lure ( Spoon) dan Tassie Lure ( Spoon versi plastik) .

Namun semenjak kejayaan menaikkan ikan dengan Abu Tormentor dan Rapala F9, saya mula jatuh cinta dengan umpan hard lure dan hampir setiap minggu ada sahaja yang dibeli tidak kira dari kedai atau online.

Sempat juga saya pesan stok abu tormentor tambahan dari Pak Cik saya yang berkunjung pada hujung October untuk graduasi anaknya.

Abu tormentor yang masih berbau kedai

Tidak sampai sebulan, koleksi saya melebihi keperluan sedangkan lure yang kerap dipakai cuma 2 hingga 3 biji sahaja. Kesibukan dengan kelas Summer juga membataskan peluang mencuba lure-lure yang baru dibeli.

Sehingga hari ini saya masih tidak berkesempatan mencuba lure-lure di atas

Memancing Bersama Junior - Bottom/Bait Fishing 101



Tidak lama selepas peristiwa dikejar jembalang pada petang Raya Haji, kami berkunjung pula ke Dunedin Harbour Basin.

Kalau tidak silap tarikhnya ialah 18 November. Niat cuma satu, untuk membawa 2 orang junior yang baru sampai memancing dan memancing laut tidak memerlukan lesen.

Lagipun jarak Harbour dari rumah Munir tidak sampai 1 kilometer dan cuma memakan masa tidak sampai 5 minit menaiki kereta.

Yang hadir pada malam itu ialah Munir, Chedet, saya, Fina, Adrian dan Aizat. Fina dan Adrian sudah lama menyatakan hasrat ingin 'try' bagaimana rasa memancing. Jadi kami bercadang untuk memburu Blue Cod supaya mereka akan ingin 'try' lagi dan lagi di lain kali.



Che det ( bertopi) menerangkan cara-cara set up batu ladung, mata kail dan umpan kepada Adrian


Adrian memang cepat pick up, sekali ajar sahaja sudah pandai.

Umpan kami pada malam itu ialah "mussell" iaitu sejenis kepah tempatan

Che det tanpa membuang masa meluru ke lubuk yang menaikkan Blue Cod pertamanya tempoh hari tanpa menghiraukan Adrian dan Fina


Tidak sampai seminit, Che Det menerima habuannya.

Adrian tidak melepaskan kesempatan untuk bergambar dengan hasil pancingan Chedet

Giliran Adrian tiba, namun terpaksa dilepaskan anak Blue Cod ini kerana terlalu kecil

Adrian mengharapkan bapa atau ibu ikan Blue Cod memakan umpannya

Fina sejak awal lagi terjerit-jerit " ehh ada orang gigit... ada orang gigit" akhirnya berjaya menaikkan "orang " itu

Ikan terkahir Chedet pada malam itu, seekor Red Cod.

Terdapat kemungkinan Singa laut (walrus) ataupun sotong kurita sedang berpeleseran di dasar mencari makanan dan ini merungkai misteri mengapa tidak banyak ikan yang naik pada malam itu.

Beberapa kali kami (Saya dan Che det) terserempak lembaga singa laut bersaiz Che Det betul-betul di bawah pancing kami berenang dengan sangat laju. Ada juga beberapa ketika 2 hingga 3 ekor sotong kurita bersaiz TV 14 inci berenang beriringan lalu dihadapan mata.

Singa Laut dan Sotong Kurita memberi petanda jelas bahawa tidak akan ada rezeki malam itu.

Secara logiknya, letakkan diri anda di tempat ikan-ikan dalam lubuk masing-masing, adakah anda akan keluar makan KFC di halaman rumah jika ada harimau dan beruang lapar berkeliaran?

Tuesday, October 18, 2011

Trip Raya Haji 2010




Pada petang Hari Raya Aidil Adha 2010, saya dan Che Det tidak dapat menahan sabar untuk memancing di Balclutha kerana terlampau kemaruk. Kami terus bergegas ke kawasan jambatan yang merentangi bandar kecil itu.


Kira-kira 30 minit lagi menjelang Magrib, rapala F9 brown trout saya disambar rakus di kawasan bertanda X sekaligus rod shimano backbone saya melentok menjadi bentuk huruf "C" terbalik.
Terjerit-jerit reel 2500 memuntahkan tali 10lb sufix braid walaupun drag diketatkan pada tahap maksima.

Menggeletar lutut dibuatnya dan dari kejauhan kelihatan sesusuk gelap kelibat trout yang agak besar membuat lompatan di tengah sungai.

Lompatan demi lompatan dibuat dan setiap lompatan membuatkan darah saya berderau dan lompatan ketiga yang menjunam terus ke dasar sungai merupakan lompatan selamat tinggal darinya membuatkan saya terkulat-kulat dan pucat di bawah pokok di gigi air.

Che det rupa-rupanya langsung tidak perasan dek kerana asyik melayan Ipod nya di bahagian tebing kira-kira 30 meter dari saya.

Sedikit hampa, saya masih tidak percaya apa yang berlaku kerana tidak pernah merasa asakan yang sebegitu kuat.

Kami berpindah ke port lain setelah selesai menunaikan solat Magrib dan disini kelukaan hati terubat dengan ikan Perch yang berjaya dinaikkan dengan umpan yang sama.


Oleh kerana hari semakin gelap kami mengorak langkah pulang walaupun hasil hari itu kurang memberangsangkan.

Di kala Che det sedang bersiap-siap memasuki kereta, kelihatan lembaga kecil setinggi lutut berada di hadapan keretanya.

Namun saya buat endah tak endah kerana menyangkakan ia adalah gumpalan belukar. Ternyata sangkaan saya meleset kerana kira-kira 5 minit perjalanan meninggalkan tempat itu kami perasan sebiji bebola api mengikut rapat kereta sepanjang jalan bukit bukau yang sunyi dan berhenti apabila kami menghampiri kawasan perumahan.

Trip kali itu memberikan pengajaran yang cukup banyak. Pertama, jangan panik jika ikan besar memakan gewang dan kedua, jangan mengada-ngada tak reti nak balik waktu-waktu senja.

Namun begitu, kami tidak pernah gentar untuk memancing pada waktu malam dan episod kelibat atau lembaga mengikut pulang tidak berhenti disitu sahaja.