Pages

Tuesday, October 18, 2011

Trip Raya Haji 2010




Pada petang Hari Raya Aidil Adha 2010, saya dan Che Det tidak dapat menahan sabar untuk memancing di Balclutha kerana terlampau kemaruk. Kami terus bergegas ke kawasan jambatan yang merentangi bandar kecil itu.


Kira-kira 30 minit lagi menjelang Magrib, rapala F9 brown trout saya disambar rakus di kawasan bertanda X sekaligus rod shimano backbone saya melentok menjadi bentuk huruf "C" terbalik.
Terjerit-jerit reel 2500 memuntahkan tali 10lb sufix braid walaupun drag diketatkan pada tahap maksima.

Menggeletar lutut dibuatnya dan dari kejauhan kelihatan sesusuk gelap kelibat trout yang agak besar membuat lompatan di tengah sungai.

Lompatan demi lompatan dibuat dan setiap lompatan membuatkan darah saya berderau dan lompatan ketiga yang menjunam terus ke dasar sungai merupakan lompatan selamat tinggal darinya membuatkan saya terkulat-kulat dan pucat di bawah pokok di gigi air.

Che det rupa-rupanya langsung tidak perasan dek kerana asyik melayan Ipod nya di bahagian tebing kira-kira 30 meter dari saya.

Sedikit hampa, saya masih tidak percaya apa yang berlaku kerana tidak pernah merasa asakan yang sebegitu kuat.

Kami berpindah ke port lain setelah selesai menunaikan solat Magrib dan disini kelukaan hati terubat dengan ikan Perch yang berjaya dinaikkan dengan umpan yang sama.


Oleh kerana hari semakin gelap kami mengorak langkah pulang walaupun hasil hari itu kurang memberangsangkan.

Di kala Che det sedang bersiap-siap memasuki kereta, kelihatan lembaga kecil setinggi lutut berada di hadapan keretanya.

Namun saya buat endah tak endah kerana menyangkakan ia adalah gumpalan belukar. Ternyata sangkaan saya meleset kerana kira-kira 5 minit perjalanan meninggalkan tempat itu kami perasan sebiji bebola api mengikut rapat kereta sepanjang jalan bukit bukau yang sunyi dan berhenti apabila kami menghampiri kawasan perumahan.

Trip kali itu memberikan pengajaran yang cukup banyak. Pertama, jangan panik jika ikan besar memakan gewang dan kedua, jangan mengada-ngada tak reti nak balik waktu-waktu senja.

Namun begitu, kami tidak pernah gentar untuk memancing pada waktu malam dan episod kelibat atau lembaga mengikut pulang tidak berhenti disitu sahaja.

1 comment: