Pages

Sunday, January 29, 2012

Simpang Lima

Percubaan pertama di Simpang Lima bertitik tolak dari lawatan tidak rasmi ke Kuala Gula tempoh hari.

Hajat di hati sekadar suka-suka pergi mencari makan makanan laut di Kuala Gula yang terkenal dengan ketam kulit lembut.

Namun di pertengahan perjalanan betul-betul selepas Simpang Lima pandangan mata saya terpaku pada sekumpulan manusia yang berpesta dalam satu suasana yang kelihatan begitu meriah sekali. Betul-betul diseberang jambatan kecil, terdapat makcik-makcik, pakcik-pakcik, kanak-kanak serta muda mudi memancing entah ikan apa tetapi keceriaan jelas terpancar di wajah mereka.

Dan pagi tadi betul-betul selepas menghantar isteri ke sekolah, saya terus menekan minyak menuju ke lokasi yang telah saya tandakan huruf X besar di atas peta dalam kepala saya.

Lokasi Parit yang tidak jauh dari jalan besar


Keadaan pagi itu berbeza sekali dengan apa yang saya lihat tempoh hari. Sunyi dan tiada orang berhampiran titi.

Nun di kejauhan kelihatan kelibat seorang lelaki menjinjing baldi putih berisi ikan barangkali. Tanpa mebuang masa saya membuat balingan menyeberang parit. Lure Mazzy frog dikarau laju, kemudian dibaling lagi dan dikarau perlahan sedikit. Dibaling lagi dan dikarau lebih perlahan, kemudian laju semula, berselang seli dan adakalanya dihenjut-henjut sedikit untuk membuat kacau di permukaan air. Mazzy frog ligat meredah gigi air, pinggir rumput dan pertemuan anak parit menggodek-godekkan badannya.


Umpan katak Mazzy yang masih dara

Habis kawasaan sepanjang lebih seratus meter saya cuba tetapi tetap tidak membuahkan hasil. Cuma ada satu sambaran lembut tidak mengena malah lagaknya tidak rakus seperti haruan. Mungkin ikan puyu atau sepat ‘rising’ menangkap serangga yang kebetulan mendarat berhampiran mazzy frog yang sedang berenang.

Air surut sangat hari ni dik, ikan haruan semua dah masuk dalam selut tak keluaq. Cuba pi try mengai tang kelapa sawit sana” kata seorang makcik yang entah muncul dari mana. Dibahunya tergalas serawan jala.


Kemarin mak cik mai dapat sepat 2 timba. Hari tu pun haruan naik berpuluh-puluh masa ayaq tinggi depa dapat. Anak mak cik pon dok besa dapat ikan keli saiz-saiz keli afrika mai dari sungai sampai patah rod “

Patutlah dari tadi tak ada seekor pun yang menegur mazzy frog yang saya layurkan. Mungkin rezeki saya disini pada lain kali. Paling tidak, hari ini saya belajar air yang surut dan berselut tak bagus untuk casting. Bukan tak ada haruan, cuma dia culas nak keluar. Menjelang musim menuai, air yang semakin kering menyebabkan ikan menggali ke dalam tanah yang lebih dalam dan lembap untuk memastikan survival mereka. Ikan-ikan ini akan keluar semula apabila parit di saliri semula itupun jika mereka masih hidup.

Macam mana lah saya boleh lupa benda basic macam ini walhal semasa sekolah rendah di Alor Setar dulu kami kerap ke sawah dan parit kecil mengorek ikan haruan, keli dan puyu yang terperangkap dalam selut yang mengering. Bukan sikit-sikit tapi berguni-guni hasil ‘ikan korek’ yang dibawa pulang.

Saya pasti akan kembali semula ke sini

No comments:

Post a Comment