Pages

Friday, January 27, 2012

Haruan 101

Tidak pernah sesekali dalam jangkaan pemikiran saya untuk sampai ke Parit Buntar apatah lagi untuk menjadi pemastautin tetap di sini.

“Di situ ada sesuatu rahmat yang menyamar” memetik kata pujangga orang putih yang berbunyi “ There is a blessing in disguise”

Mungkin tuhan sudah merancang yang terbaik untuk saya, iaitu sebaik sahaja saya menamatkan zaman bujang kira-kira 2 minggu yang lalu bersama gadis pilihan, saya mengikutinya untuk tinggal di sini.

Sesuai dengan jiwa saya, Parit Buntar juga ibarat pengganti Dunedin yang telah saya tinggalkan mungkin untuk selama-lamanya.

Suasana di sini tidak ubah seperti di Alor Setar dengan sawah bendang luas terbentang dipisahkan oleh tali-tali air. Bezanya, di sini pilihan untuk memancing lebih luas kerana kelebihan Parit Buntar dari sudut Geografi.

Parit Buntar terletak di Daerah kerian, bersempadan dengan Nibong Tebal dan Bandar Baharu. Sungai Kerian misalnya menyajikan beraneka jenis ikan dan juga sangat terkenal sebagai syurga udang galah.

Perjalanan memakan masa kira-kira 30 minit dari pekan Parit Buntar ke Tanjung Piandang dan seterusnya ke Ban Pecah, iaitu muara sungai yang kaya dengan ikan air payau seperti siakap putih dan merah.

Kuala Gula pula hanya terletak kira-kira 45 minit dari sini dan begitu sinonim sebagai pusat pendaratan atau berlabuhnya bot-bot yang sering membawa pemancing ke lokasi memancing muara dan laut dalam.

Namun begitu, untuk permulaan, saya memilih untuk memancing haruan kerana disini terdapat terlalu banyak lubuk haruan beraneka saiz untuk diterokai.

Tambahan pula, peluang sebegini sangat sukar diperolehi ketika saya tinggal bersama ibu bapa di Subang Jaya. Untuk memancing haruan saya terpaksa memandu jauh ke Shah Alam , Puncak Alam dan Denai Alam. Tempat-tempat memancing juga sangat terhad oleh kerana ancaman besar bernama ‘Pembangunan’.

Tidak cukup dengan itu, populasi ikan makin berkurang akibat di jaring dan dijala oleh mat-mat indon dan bangla. Lebih menyedihkan, beberapa kali ketika memancing haruan, orang tempatan sendiri seringkali datang menjaring betul-betul berhadapan dengan umpan yang dilemparkan.

Peluang yang ada tidak baik disia-siakan. Walaupun disajikan dengan pilihan lain samada ingin memancing di sungai atau laut, saya memilih tali air dan sawah kerana beberapa faktor antaranya telah disebutkan tadi.

Tambahan pula di tempat baru, saya belum sempat berkenalan dengan pemancing-pemancing lain jadi langkah tidaklah berapa panjang selain dibelenggu factor kos atau modal yang sedikit menghimpit usai majlis perkahwinan tempoh hari.

Untuk permulaan di tempat baru, saya memulakan semula pemancingan ini dari bawah serta belajar semula selok-belok memancing dari otai-otai tempatan.

Langkah pertama bermula dengan membeli rod. Rod-rod yang dibawa pulang dari New Zealand pula masih di dalam tube dan bubble wrap malahan tali 6lb terlalu kecil untuk digunakan di sini.

Waktu terluang petang kelmarin diisi dengan kunjungan ke KK tackle. Niat asal hendak keluarkan modal besar sedikit membeli joran yang bagus terus namun saya sendiri tidak pasti adakah saya dapat meneruskan hobi ini setelah memulakan pekerjaan sebagai house officer atau ‘ houseman ‘di hospital nanti.

Jadi, saya memilih rod tidak berjenama berukuran 6 kaki setengah beserta reel Tomman dilengkapi dengan tali sulam 15lb dan leader 20lb. Kesemuanya tidak sampai RM 100.




Selepas menuntut sedikit sebanyak dari kokey kedai dan beberapa pengunjung setia yang boleh dipanggil sifu, saya membeli beberapa kelengkapan lain seperti lure yang sesuai dengan kondisi disini untuk dicuba. . Agak mengecewakan kerana tackle box saya penuh dengan lure haruan yang dibeli kira-kira 2 tahun lalu telah hilang di rumah ibu bapa saya di Subang Jaya

“Lu mau main katak tipu kena manyak sabaq.. wa pigi 3 kali baru naik ikan… lagi itu susah mau cari kawan pigi sebab semua orang sini haaa, depa main katak idup.. talak suka main katak tipu sebab lambat dapat. Lagi haaa, depa cari ikan untuk makan bukan mau suka-suka sport fishing”

Itu kata-kata terakhir si tokey kedai KK Tackle sebelum saya melangkah keluar.

No comments:

Post a Comment