Pages

Sunday, January 29, 2012

Simpang Lima

Percubaan pertama di Simpang Lima bertitik tolak dari lawatan tidak rasmi ke Kuala Gula tempoh hari.

Hajat di hati sekadar suka-suka pergi mencari makan makanan laut di Kuala Gula yang terkenal dengan ketam kulit lembut.

Namun di pertengahan perjalanan betul-betul selepas Simpang Lima pandangan mata saya terpaku pada sekumpulan manusia yang berpesta dalam satu suasana yang kelihatan begitu meriah sekali. Betul-betul diseberang jambatan kecil, terdapat makcik-makcik, pakcik-pakcik, kanak-kanak serta muda mudi memancing entah ikan apa tetapi keceriaan jelas terpancar di wajah mereka.

Dan pagi tadi betul-betul selepas menghantar isteri ke sekolah, saya terus menekan minyak menuju ke lokasi yang telah saya tandakan huruf X besar di atas peta dalam kepala saya.

Lokasi Parit yang tidak jauh dari jalan besar


Keadaan pagi itu berbeza sekali dengan apa yang saya lihat tempoh hari. Sunyi dan tiada orang berhampiran titi.

Nun di kejauhan kelihatan kelibat seorang lelaki menjinjing baldi putih berisi ikan barangkali. Tanpa mebuang masa saya membuat balingan menyeberang parit. Lure Mazzy frog dikarau laju, kemudian dibaling lagi dan dikarau perlahan sedikit. Dibaling lagi dan dikarau lebih perlahan, kemudian laju semula, berselang seli dan adakalanya dihenjut-henjut sedikit untuk membuat kacau di permukaan air. Mazzy frog ligat meredah gigi air, pinggir rumput dan pertemuan anak parit menggodek-godekkan badannya.


Umpan katak Mazzy yang masih dara

Habis kawasaan sepanjang lebih seratus meter saya cuba tetapi tetap tidak membuahkan hasil. Cuma ada satu sambaran lembut tidak mengena malah lagaknya tidak rakus seperti haruan. Mungkin ikan puyu atau sepat ‘rising’ menangkap serangga yang kebetulan mendarat berhampiran mazzy frog yang sedang berenang.

Air surut sangat hari ni dik, ikan haruan semua dah masuk dalam selut tak keluaq. Cuba pi try mengai tang kelapa sawit sana” kata seorang makcik yang entah muncul dari mana. Dibahunya tergalas serawan jala.


Kemarin mak cik mai dapat sepat 2 timba. Hari tu pun haruan naik berpuluh-puluh masa ayaq tinggi depa dapat. Anak mak cik pon dok besa dapat ikan keli saiz-saiz keli afrika mai dari sungai sampai patah rod “

Patutlah dari tadi tak ada seekor pun yang menegur mazzy frog yang saya layurkan. Mungkin rezeki saya disini pada lain kali. Paling tidak, hari ini saya belajar air yang surut dan berselut tak bagus untuk casting. Bukan tak ada haruan, cuma dia culas nak keluar. Menjelang musim menuai, air yang semakin kering menyebabkan ikan menggali ke dalam tanah yang lebih dalam dan lembap untuk memastikan survival mereka. Ikan-ikan ini akan keluar semula apabila parit di saliri semula itupun jika mereka masih hidup.

Macam mana lah saya boleh lupa benda basic macam ini walhal semasa sekolah rendah di Alor Setar dulu kami kerap ke sawah dan parit kecil mengorek ikan haruan, keli dan puyu yang terperangkap dalam selut yang mengering. Bukan sikit-sikit tapi berguni-guni hasil ‘ikan korek’ yang dibawa pulang.

Saya pasti akan kembali semula ke sini

Friday, January 27, 2012

Haruan 101

Tidak pernah sesekali dalam jangkaan pemikiran saya untuk sampai ke Parit Buntar apatah lagi untuk menjadi pemastautin tetap di sini.

“Di situ ada sesuatu rahmat yang menyamar” memetik kata pujangga orang putih yang berbunyi “ There is a blessing in disguise”

Mungkin tuhan sudah merancang yang terbaik untuk saya, iaitu sebaik sahaja saya menamatkan zaman bujang kira-kira 2 minggu yang lalu bersama gadis pilihan, saya mengikutinya untuk tinggal di sini.

Sesuai dengan jiwa saya, Parit Buntar juga ibarat pengganti Dunedin yang telah saya tinggalkan mungkin untuk selama-lamanya.

Suasana di sini tidak ubah seperti di Alor Setar dengan sawah bendang luas terbentang dipisahkan oleh tali-tali air. Bezanya, di sini pilihan untuk memancing lebih luas kerana kelebihan Parit Buntar dari sudut Geografi.

Parit Buntar terletak di Daerah kerian, bersempadan dengan Nibong Tebal dan Bandar Baharu. Sungai Kerian misalnya menyajikan beraneka jenis ikan dan juga sangat terkenal sebagai syurga udang galah.

Perjalanan memakan masa kira-kira 30 minit dari pekan Parit Buntar ke Tanjung Piandang dan seterusnya ke Ban Pecah, iaitu muara sungai yang kaya dengan ikan air payau seperti siakap putih dan merah.

Kuala Gula pula hanya terletak kira-kira 45 minit dari sini dan begitu sinonim sebagai pusat pendaratan atau berlabuhnya bot-bot yang sering membawa pemancing ke lokasi memancing muara dan laut dalam.

Namun begitu, untuk permulaan, saya memilih untuk memancing haruan kerana disini terdapat terlalu banyak lubuk haruan beraneka saiz untuk diterokai.

Tambahan pula, peluang sebegini sangat sukar diperolehi ketika saya tinggal bersama ibu bapa di Subang Jaya. Untuk memancing haruan saya terpaksa memandu jauh ke Shah Alam , Puncak Alam dan Denai Alam. Tempat-tempat memancing juga sangat terhad oleh kerana ancaman besar bernama ‘Pembangunan’.

Tidak cukup dengan itu, populasi ikan makin berkurang akibat di jaring dan dijala oleh mat-mat indon dan bangla. Lebih menyedihkan, beberapa kali ketika memancing haruan, orang tempatan sendiri seringkali datang menjaring betul-betul berhadapan dengan umpan yang dilemparkan.

Peluang yang ada tidak baik disia-siakan. Walaupun disajikan dengan pilihan lain samada ingin memancing di sungai atau laut, saya memilih tali air dan sawah kerana beberapa faktor antaranya telah disebutkan tadi.

Tambahan pula di tempat baru, saya belum sempat berkenalan dengan pemancing-pemancing lain jadi langkah tidaklah berapa panjang selain dibelenggu factor kos atau modal yang sedikit menghimpit usai majlis perkahwinan tempoh hari.

Untuk permulaan di tempat baru, saya memulakan semula pemancingan ini dari bawah serta belajar semula selok-belok memancing dari otai-otai tempatan.

Langkah pertama bermula dengan membeli rod. Rod-rod yang dibawa pulang dari New Zealand pula masih di dalam tube dan bubble wrap malahan tali 6lb terlalu kecil untuk digunakan di sini.

Waktu terluang petang kelmarin diisi dengan kunjungan ke KK tackle. Niat asal hendak keluarkan modal besar sedikit membeli joran yang bagus terus namun saya sendiri tidak pasti adakah saya dapat meneruskan hobi ini setelah memulakan pekerjaan sebagai house officer atau ‘ houseman ‘di hospital nanti.

Jadi, saya memilih rod tidak berjenama berukuran 6 kaki setengah beserta reel Tomman dilengkapi dengan tali sulam 15lb dan leader 20lb. Kesemuanya tidak sampai RM 100.




Selepas menuntut sedikit sebanyak dari kokey kedai dan beberapa pengunjung setia yang boleh dipanggil sifu, saya membeli beberapa kelengkapan lain seperti lure yang sesuai dengan kondisi disini untuk dicuba. . Agak mengecewakan kerana tackle box saya penuh dengan lure haruan yang dibeli kira-kira 2 tahun lalu telah hilang di rumah ibu bapa saya di Subang Jaya

“Lu mau main katak tipu kena manyak sabaq.. wa pigi 3 kali baru naik ikan… lagi itu susah mau cari kawan pigi sebab semua orang sini haaa, depa main katak idup.. talak suka main katak tipu sebab lambat dapat. Lagi haaa, depa cari ikan untuk makan bukan mau suka-suka sport fishing”

Itu kata-kata terakhir si tokey kedai KK Tackle sebelum saya melangkah keluar.

Wednesday, January 11, 2012

Diari Trout Hunter


Alhamdulillah, setelah 6 tahun lebih berada di New Zealand saya akhirnya berjaya menamatkan pengajian dan mengambil keputusan untuk pulang terus ke Malaysia dan berkhidmat kepada negara tercinta.

Kerinduan atas segala macam benda, peristiwa, dan aktiviti di Malaysia selama berada di luar negara bakal terubat pada tahun-tahun yang mendatang. Yang paling penting, saya akan lebih dekat dengan keluarga dan sanak saudara yang selama ini banyak memberi sokongan moral dan wang ringgit terutamanya mak dan abah.

Namun begitu, jauh di sudut hati saya tahu dan yakin bahawa saya bakal merindui saat- saat manis memancing Trout bersama kawan-kawan di Dunedin, New Zealand.

Terlalu banyak kenangan memancing bersama yang tidak dapat saya lupakan hingga ke akhir hayat saya. Bukan mudah untuk mendapat peluang berkunjung ke negara orang apatah lagi menduga sungai dan laut di sana.

Peluang yang ada tidak saya sia-siakan dan saya nukilkan coretan berupa diari memancing di negara yang sinonim dengan lembu dan susu itu.

Tulisan-tulisan sebelum ini bakal saya pindahkan ke Diari Trouthunter demi memberi ruang kepada siri-siri memancing lain yang bakal saya tempuhi di tanah air. Tambahan pula, terdapat longgokan blog entry yang terlalu banyak akibat ketiadaan masa sebelum ini untuk mengemaskini blog trouthunter.

Semoga tulisan dalam Diari Trouthunter yang tak seberapa dapat dikongsi dengan rakan-rakan memancing dan mungkin dapat memberi panduan andaikata ada rezeki rakan-rakan untuk berkunjung ke sana suatu hari nanti.


Ladang kelapa sawit yang terletak betul-betul di hadapan rumah